BINTULU, 3 Ogos 2026 – Inisiatif AgriHub dan penubuhan School of Veterinary and Animal Science (SVAS) akan memperkukuh ekosistem agrimakanan Sarawak melalui peningkatan produktiviti pertanian, pembangunan kepakaran tempatan serta pengukuhan industri ternakan Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg berkata, pendekatan berasaskan penyelidikan, inovasi dan kerjasama bersama komuniti adalah penting dalam memastikan sektor pertanian Sarawak berkembang secara mampan dan berdaya tahan.
Beliau berkata, model AgriHub yang telah menunjukkan perkembangan memberangsangkan di Gedong membuktikan kepentingan menggabungkan teknologi, penyelidikan dan penglibatan komuniti dalam meningkatkan produktiviti pertanian.
"AgriHub menunjukkan bagaimana penyelidikan, inovasi dan kerjasama rapat dengan komuniti tempatan dapat memperkukuh produktiviti pertanian serta keterjaminan makanan.
"Pendekatan ini akan terus diperluaskan ke lokasi strategik lain bagi menyokong agenda pembangunan pertanian mampan Sarawak," katanya ketika merasmikan Kongres Ketiga Pertanian Mampan dan Keterjaminan Makanan (COSAFS2026) di Hotel Imperial, di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, pembangunan sektor agrimakanan Sarawak turut memerlukan pengukuhan modal insan, khususnya dalam bidang veterinar, kesihatan haiwan dan pembangunan industri ternakan.
Katanya, penubuhan SVAS akan memainkan peranan penting dalam membangunkan kepakaran tempatan serta menyokong aspirasi Sarawak untuk membina sektor agrimakanan yang lebih kukuh dan berdaya tahan.
"Penubuhan School of Veterinary and Animal Science akan memperkukuh kapasiti tempatan dalam bidang perubatan veterinar, kesihatan haiwan dan pembangunan ternakan," katanya.
Katanya, kerjasama antara kerajaan, akademia, industri dan komuniti amat penting bagi memastikan Sarawak mampu membangunkan sistem makanan yang lebih selamat, mampan dan berdaya saing.
Beliau menambah, penganjuran COSAFS2026 turut menjadi platform penting untuk perkongsian ilmu, pemindahan teknologi dan jaringan strategik dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai pusat kecemerlangan pertanian dan inovasi serantau.